Thursday, October 4, 2007

Berpuasa jalan kesempurnaan insan

Puasa ialah rukun Islam yang keempat dan wajib dilakukan pada bulan Ramadan dan difardukan pada tahun kedua Hijrah. Untuk kesempurnaan puasa hendaklah seluruh anggota badan termasuk hati meninggalkan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah.

Kesempurnaan puasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum tetapi juga seluruh badan berpuasa. Sebagai umat Islam, kita hendaklah mengawal hati agar sentiasa mengingati Allah, berzikir, berdoa, bersyukur dan sebagainya.

Inilah hakikat puasa dan orang yang memelihara perkara tersebut, maka merupakan satu jihad yang besar dalam melawan hawa nafsu. Puasa merupakan jihad kerohanian antara seorang hamba dengan Tuhannya iaitu hubungan ketaatan dan tunduk sepenuhnya terhadap perintah Tuhannya.

Mereka yang benar-benar berpuasa adalah mereka yang dapat menahan anggota zahir dan batinnya daripada melakukan perbuatan maksiat. Ertinya, hakikat puasa adalah berpuasa daripada berbuat kejahatan lahir dan kejahatan batin.

Sayyid Qutb melihat bahawa puasa merupakan jalan untuk mencapai kesempurnaan kemanusiaan. Sebabnya puasa menjadi pendidikan terpenting dalam mendidik jiwa manusia dan membina perasaan kehambaan dan pengibadatan kepada Allah.

Apabila berpuasa, kita akan merasai bahawa kita adalah orang yang paling bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan. Di samping itu, kita dapat merasai nilai-nilai hidayah Allah yang didapati dalam diri kita semasa dalam berpuasa, iaitu mencegah diri daripada berfikir untuk membuat maksiat, mencegah diri dan anggota badan dari menderhaka-Nya, sentiasa merasai untuk mengingati Allah atas kurniaan nikmat dan hidayah tersebut.

Firman Allah yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana telah diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertakwa. (al-Baqarah : 183)

Setiap perkara yang Allah wajibkan itu mempunyai hikmah yang tersendiri. Maha Suci Allah yang tidak mengharap manfaat daripada ketaatan kita dan tidak dapat memudaratkan-Nya dengan kemaksiatan kita. Hikmat sebenarnya hanya Allah yang mengetahui.

Hikmat ketaatan itu hanya kembali kepada kepentingan manusia. Terdapat hikmah yang utama Allah mewajibkan umat Islam berpuasa iaitu menguji siapakah hamba-hambanya yang ikhlas beribadat dan bersabar. Kesabaran itu membuktikan bahawa mereka adalah orang yang cinta dan kasih kepada Allah.

Di samping itu, puasa adalah rahmat Allah terhadap hamba-hambanya. Melalui ibadat puasa, jiwa seseorang diasuh dan dilatih agar kuat menahan godaan syaitan dan hawa nafsu. Godaan-godaan tersebut merupakan punca yang mencetuskan berbagai-bagai kejahatan di atas muka bumi ini. Puasa akan menyucikan diri dengan ketaatan dan menjauhi perkara maksiat. Puasa melatih dengan kesempurnaan ubudiah kepada Allah.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud, Demi Allah sesunguhnya diriku berada ditangan-Nya, bau busuk mulut orang yang berpuasa di sisi Allah lebih harum daripada bau kasturi. Dia meninggalkan makan dan minum dan syahwat kerana aku dan setiap amalan anak Adam baginya, melainkan puasa, ia bagiKu (menentukan kadar pahala) dan akulah yang membalasnya. (muttafaqun alaih)

Kekuatan nafsu jahat itu dapat dilemahkan apabila seseorang itu berpuasa dan jalan-jalan syaitan telah disempitkan dengan lemahnya hawa nafsu. Apabila syaitan dan hawa nafsu tidak aktif, maka terhindarlah seseorang itu daripada maksiat dan kejahatan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Sesungguhnya syaitan itu adalah mengikut saluran darah. Oleh itu hendaklah kamu persempitkan jalan syaitan itu dengan melakukan lapar dan dahaga”.

Berpuasa walaupun mempunyai hikmah dari segi kesihatan adalah merupakan satu latihan untuk manusia mencapai tahap ketinggian dalam program kerohanian. Manusia seperti dalam gambaran kejadian Adam merupakan dua unsur terpenting iaitu tanah dan roh Ilahi yang ditiupkan oleh Allah. Satu menyeru ke arah bawah dan satu lagi menyeru ke arah atas. Apabila unsur tanah menguasainya jadilah ia seperti binatang dan jika unsur roh menguasainya maka ia akan lebih tinggi daripada tingkat para malaikat.

Oleh itu, orang yang berpuasa akan mendapat kemenangan bagi roh atas kebendaan, akal atas syahwat. Inilah rahsia kegembiraan bagi orang yang menyempurnakan berpuasa iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa. Berpuasa juga melatih seseorang itu bersabar. Sabar atas ketaatan dan sabar dalam mencegah diri daripada melakukan kejahatan. Kedua-dua kesabaran itu diperolehi melalui puasa. Puasa juga merupakan perisai dan banyak hadis yang menyebutkan perkara tersebut sama ada perisai dari melakukan dosa di dunia ini atau perisai dari azab neraka.

Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Puasa itu adalah perisai daripada neraka seperti mana perisai salah seorang dari kamu daripada pembunuhan”. (riwayat Ahmad, al-Nasa'i, Ibn Majah, Ibn Huzaimah dan Ibn Habban dari Uthman bin Abi As.)

Puasa mempunyai ikatan yang sangat rapat dengan keimanan seseorang kepada Allah. Puasa merupakan ibadat rahsia. Seseorang itu boleh makan dan minum secara bersembunyi tetapi dia tidak mampu bersembunyi daripada Allah.

Puasa adalah ibadat hati yang menjadi rahsia antara seorang hamba dengan tuhannya. Oleh itu seseorang yang berpuasa menjadi bukti yang kukuh bahawa ia meyakini bahawa Allah memerhati dan melihat dirinya sama ada nyata atau sembunyi. Keadaan ini menjadi satu pendidikan baginya untuk menguatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

* MOHD. RUMAIZUDDIN GHAZALI ialah pelajar ijazah kedoktoran Jabatan Akidah dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Kajian Buku Ilmiah

Kekayaan sebenar bukan sekadar harta dunia



Judul: Kaya Sebelum Miskin
Penulis: Akhil Hayy dan Razzi Armansur
Penerbit: Inteam Records Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan

KITA mempunyai sumber kekayaan semula jadi dalam diri, bersama kita sejak sebelum lahir ke dunia, tetapi kebanyakan kita tidak ambil tahu serta tidak memanfaatkan kekayaan itu kerana tidak kenal kekayaan ada pada diri.

Apa yang akan anda lakukan kepada kekayaan sekarang sebelum jatuh miskin? Itulah persoalan dibawa dalam buku hasil karya penceramah bebas Akhil Hayy dan Razzi Armansur supaya kekayaan yang ada dapat dimanfaatkan untuk meraih lebih banyak kekayaan.

Aku Kaya, bab dua dalam buku ini mengajak pembaca menghargai harta yang ada pada diri dibekalkan Allah kerana ia tidak ternilai jika dibandingkan dengan kekayaan bersandarkan kepada harta benda.

Bab ini juga membetulkan salah anggap bahawa kekayaan sering dikaitkan dengan wang dan harta menyebabkan ramai berasakan diri miskin hanya kerana tidak ada wang yang banyak, rumah besar, kereta mewah serta material berharga yang lain.


Hakikatnya manusia mempunyai dua kekayaan iaitu kekayaan dalam diri serta luar diri. Kekayaan luar diri adalah kekayaan tersedia di sekeliling kita, ada yang kelihatan tidak kurang tersembunyi daripada penglihatan mata.

Cara mendapatkan hasil kekayaan luar diri memerlukan kekayaan dalam diri yang kemudian digunakan untuk mendapat kekayaan di luar diri. Bunyi sedikit berfalsafah, namun dengan penjelasan lanjut dalam buku itu nanti akan dapat difahami maksud cuba disampaikan.

Buku Kaya Sebelum Miskin adalah mengenai kekayaan, kemiskinan dan bagaimana cara memanfaatkan kekayaan yang diberi secara percuma oleh Allah sebelum sampai tamat tempoh, akhirnya kita jadi miskin.

Antara kekayaan dalam diri dibekalkan Allah yang mesti digunakan dan dimanfaatkan sebelum tamat tempoh ialah nyawa, masa, tenaga, kesihatan nafsu, akal dan fizikal. Dikatakan sebelum tamat tempoh kerana apabila ditarik kekayaan itu, tiada apa yang boleh dilakukan.

Turut dimuatkan dalam buku setebal 140 halaman ini ialah panduan bagaimana supaya kaya bertambah kaya serta amalan menambahkan kekayaan antaranya menyelesaikan hutang dengan segera, utamakan hak orang dengan segera serta amalkan sifat pemurah.

Cara mencari berkat serta tanda tidak berkat juga didedahkan seperti perasaan tidak pernah cukup walau dapat sebanyak mana pun, tidak gembira, menjadi kedekut, menjadi takut hingga membina penjara sendiri.

Selain menyajikan aspek penting mengenai kekayaan serta sebab-musabab kenapa ia perlu dipelihara, buku ini turut mengimbas sejarah dilalui penulisnya, Akhil Hayy, bekas penyanyi kumpulan rock yang bertukar menjadi pendakwah.

Malah, beliau turut membekalkan sajak berunsur kesedaran pada akhir setiap topik yang dibincangkan dalam tujuh bab diketengahkan termasuk Kaya Semakin Kaya, Subur Berbuah Subur Gersang dan Hendak Dibawa Ke Mana Kekayaan Ini?.

Tuesday, October 2, 2007

Terapi puasa


Oleh ROHIDZIR RAIS

Sebagai Pencipta manusia, jasad dan roh, Allah s.w.t. pasti lebih tahu apa yang baik untuk manusia. Kewajipan puasa tidak hanya bertujuan merawat jiwa manusia dalam ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah tetapi juga sebagai terapi tahunan untuk tubuh manusia.

Ini jelas dilihat dalam surah al-Baqarah ayat 184 bermaksud: Berpuasa itu lebih baik bagi kamu, kalau kamu mengetahui.

Puasa telah sedia dikenali sebagai satu rawatan semula jadi untuk pelbagai jenis penyakit sejak beribu-ribu tahun dahulu. Ramai pakar perubatan kuno berpuasa dan menyarankan pesakit-pesakitnya agar berpuasa sebagai satu kaedah rawatan. Contohnya, Ibnu Sina, pakar perubatan Islam, menyifatkan puasa sebagai rawatan untuk pelbagai jenis penyakit.

Malah doktor-doktor Islam kini mengakui puasa boleh mengubati penyakit cacar dan sifilis. Napoleon ketika menawan Mesir, mengamalkan terapi puasa untuk mengawal penyakit berjangkit. Dr. Fredrick Hoffman, dari Universiti Moscow pada 1769 menasihatkan pesakit-pesakitnya agar berpuasa ketika sakit. Menurut beliau, puasa memberikan masa untuk perut berehat dan memberikan ruang untuk tubuh mengembalikan kekuatan.

Allah sendiri menjelaskan bahawa puasa yang diwajibkan ke atas kita ini telahpun diamalkan oleh umat-umat sebelum ini. Firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Pada kurun ke-19, Zeland, seorang pakar perubatan Rusia, mengumumkan bahawa puasa memberi kesan positif kepada urat saraf, sistem penghadaman dan darah. Katanya lagi, puasa memberikan masa yang cukup untuk tubuh berehat, di samping beroleh kekuatan baru.

Sebenarnya hakikat puasa sebagai terapi melawan penyakit bukan sesuatu yang baru. Rasulullah yang hidup pada zaman gelap sains, mengakui bahawa puasa adalah senjata untuk melawan penyakit. Sabda baginda, “Puasa adalah senjata untuk mempertahankan diri”. (riwayat Imam Ahmad)

Pakar-pakar moden kini mengesahkan bahawa setiap orang perlu berpuasa, sama ada orang itu sihat, apatah lagi jika sakit. Pelbagai racun memasuki tubuh sepanjang hidup kita, melalui makanan dan minuman moden yang tidak sihat dan sarat dengan bahan kimia dan udara yang tercemar.

Tubuh tidak mampu menyingkirkan semua racun ini dan menyebabkan manusia semakin lemah. Puasa dapat memberi ruang dan kesempatan untuk sel-sel tubuh membersihkan diri mereka daripada racun-racun ini dengan lebih berkesan. Berbeza dengan amalan diet biasa, kaedah puasa Ramadan adalah yang terbaik kerana dilakukan dengan sistematik setiap tahun.

Walaupun keberkesanan terapi puasa terhadap tubuh telah diakui tetapi perkara paling menakjubkan ialah kemampuannya untuk merawat masalah psikologi yang kritikal. Puasa memberi masa untuk sel-sel otak berehat dan pada masa sama, bertindak membersihkan sel-sel darah daripada toksik. Darah bersih yang memasuki otak ini akan turut sama membersihkannya.

Hasilnya, orang yang berpuasa mempunyai otak yang lebih kuat dan cerdas untuk berfikir. Ini dibuktikan apabila Pengarah Institut Pesakit Mental Moscow, Dr. Yuri Nikolayev, merawat 7,000 pesakit mental dengan menggunakan terapi puasa, setelah semua kaedah dan ubat-ubatan lain tidak berkesan. Menakjubkan rawatan ini berjaya!

Bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan yang tidak membenarkan mereka yang mempunyai masalah psikologi berpuasa seperti pesakit yang menderita epilepsi (sawan) yang disebabkan oleh kekurangan kandungan gula dalam darah kerana memerlukan pengambilan ubat sepanjang Ramadan.

Begitu juga dengan pesakit skizofrenia, menggunakan ubat yang menyebabkan mulut kering dan dahaga.

Pengguna Lithium juga tidak boleh berpuasa kerana kekurangan air di dalam badan boleh menyebabkan kepekatan darah dan menukarkan dadah menjadi racun.

Kebanyakan doktor menyarankan agar pesakit diabetes jenis 2 agar tidak berpuasa kerana memudaratkan. Tetapi, Dr. Riyadh Sulaimani dan rakan-rakannya di Kuliah Perubatan Hospital al-Malik Khaled al-Jami’, pada 1990, telah menjalankan kajian tentang kesan puasa Ramadan kepada pesakit diabetes jenis 2.

Seramai 47 orang pesakit diabetes jenis 2 yang terlibat dalam kajian ini telah berpuasa dan didapati tidak terdapat kesan yang memudaratkan kepada mereka dari segi berat badan dan kandungan gula dalam badan.

Bagaimanapun, mereka ini sebaiknya mendapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa. Pesakit yang bergantung pada suntikan insulin, tidak disarankan berpuasa kerana mereka perlu makan setengah jam selepas suntikan. Namun begitu pesakit yang menggunakan ubat-ubatan, mungkin boleh mengambil manfaat daripada puasa terutama mereka yang mengalami berat badan berlebihan.

Puasa boleh membantu anda kekal muda remaja! Sekurang-kurangnya itulah yang di dakwa oleh Dr. Masora EJ dari Fakulti Psikologi Universiti Texas, yang mengkaji kaitan puasa dengan faktor panjang umur dan awet muda. Dengan mengurangkan 50-70 peratus makanan yang diberikan kepada beberapa ekor tikus, didapati ia membantu memanjangkan jangka hayat mereka serta dapat mencegah penyakit-penyakit yang berkaitan dengan usia.

Terapi yang dinamakan sebagai Antiaging Action of Caloric Restriction (CR) ini berkesan kerana pembersihan berterusan sel-sel tubuh melalui puasa dapat memanjangkan umur sel dan melambatkan proses penuaan.

Selain itu, keperluan badan terhadap protein juga menurun dan ini membolehkan sel-sel berehat dengan baik. Puasa juga dapat memperbaharui sel-sel dengan cara yang selamat.

Benarlah seperti yang disabdakan Baginda, nabi yang ummi yang tidak mengenal huruf, bahawa puasa adalah senjata untuk mempertahankan diri. Ini kerana, ketika puasa menyebabkan perubahan hormon di dalam badan.

Kajian Dr. Kernt et. al, telah mengesan perubahan dalam pengeluaran Hormon Pembesaran (Growth Hormone) oleh kelenjar pituari dalam tubuh orang yang berpuasa. Ini memberikan kesan positif dalam menguatkan sistem imuniti tubuh. Seperti yang kita tahu, sistem imuniti adalah ‘senjata’ mempertahankan diri daripada serangan luar. Dengan semua nikmat ini, bulan Ramadan layak dinobatkan sebagai Bulan Kesihatan Sedunia!

Maha Suci Allah yang telah menganugerahkan nikmat Ramadan ini. Kita berpuasa kerana Allah, begitu juga dengan semua ibadat lain. Kerana ketaatan ini, kita menerima kebaikan di dunia dan di akhirat berupa kesihatan yang baik. Sedangkan pada masa yang sama orang bukan Islam berhempas pulas mengkaji tentang puasa, nikmat yang telah lama kita kecapi.

* ROHIDZIR RAIS ialah Editor di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Iktikaf dekatkan diri pada Allah

sumber : Utusan Malaysia ( Selasa 2 Oktober 2007, 20 Ramadan 1428 )

Hari ini adalah hari ke-20 umat Islam di Malaysia berpuasa Ramadan. Ini bermakna, kita telah memasuki fasa ketiga Ramadan iaitu berada pada 10 malam terakhir yang terkandung di dalamnya lailatul qadar.

Pada suku terakhir Ramadan, umat Islam digalakkan meningkatkan ibadat sunat. Antara yang paling utama ialah beriktikaf untuk beribadat pada sebelah malamnya.

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah s.a.w beriktikaf pada setiap bulan Ramadan sebanyak 10 hari. Apabila tiba tahun yang baginda wafat padanya, baginda beriktikaf selama 20 hari. (riwayat Bukhari)

Allah berfirman: Dan pada sebahagian daripada malam, maka sujudlah kepada-Nya dan bertasbihlah kepada-Nya pada bahagian yang panjang di malam hari. (al-Insan: 26)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto NAZERI ABU BAKAR menemu bual Imam Besar Masjid Negara, Datuk Syaikh Ismail Muhammad bagi mengupas tentang ibadat sunat ini.

MEGA: Bagaimanakah kita boleh mendapat pahala dalam mengerjakan iktikaf ini?

SYAIKH ISMAIL: Iktikaf adalah amalan baik yang amat disunatkan kepada umat Islam melakukannya. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Maksud iktikaf di sini ialah mendampingi masjid. Tujuan iktikaf ini ialah untuk membersihkan hati dengan mengingati Allah dan taqarrub (berdamping) dengan Allah Yang Maha Pencipta dengan hati yang ikhlas. Allah amat menyukai hamba-hamba-Nya yang sentiasa berusaha bertaqarrub kepada-Nya.

Ia boleh dilakukan setiap kali kita berada di masjid iaitu semasa menunggu waktu solat Isyak misalnya, kita berniat beriktikaf. Dengan niat begini, kita sudah pun beroleh pahala.

Dalam bulan Ramadan ini kita perlu merebut peluang di mana ibadat sunat yang dilakukan itu diberi ganjaran ibadat fardu. Ibadat fardu pula diberi ganjaran 70 kali ganda.

Apakah amalan yang dianjur kita lakukan semasa iktikaf ini?

SHAIKH ISMAIL: Sudah tentu apabila kita beriktikaf untuk mendekatkan diri kepada Allah, kita akan melakukan sesuatu ibadat.

Iktikaf ini hendaklah dilakukan di masjid atau surau yang didirikan solat Jumaat padanya.

Perkara yang sunat dilakukan ialah berqiamullail iaitu membanyakkan ibadat sunat seperti solat tahajud, hajat, taubat, tasbih, mutlak yang diakhiri dengan solat sunat witir.

Selain itu, membaca al-Quran kerana Rasulullah pernah bersabda, membaca al-Quran adalah ibadat sunat yang paling afdal.

Bersabda Rasulullah s.a.w., “Barang siapa membaca satu huruf kitab Allah, memperoleh satu kebajikan. Saya tidak mengatakan Alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (riwayat al-Tirmizi)

Kita juga boleh bertasbih, bertahmid, beristighfar, berselawat dan berdoa.

Bagi mereka yang berkesempatan, boleh juga menghadiri majlis ilmu, mengulangkaji kitab-kitab agama, sirah nabi dan sebagainya.

Bagaimanapun, kita boleh juga membaca buku-buku akademik contohnya berkaitan sains dan teknologi. Yang penting ia memberi manfaat kepada diri dan masyarakat. Membaca buku-buku begini pun turut diberi ganjaran pahala oleh Allah s.w.t.

Ada yang berpendapat, qiamullail itu wajib disertai dengan solat sunat yang banyak. Benarkah?

SYAIKH ISMAIL: Pandangan begini kurang tepat. Memanglah afdal jika kita boleh mendirikan pelbagai solat sunat semasa qiamullail terutamanya solat tasbih.

Tentang solat tasbih ini, Rasulullah pernah bersabda, “Kalau boleh didirikan setiap malam, kalau tidak boleh, seminggu sekali, kalau tidak boleh sebulan sekali, paling tidak pun setahun sekali”. Allah menjanjikan keampunan dosa yang lalu dan akan datang untuk mereka yang mengerjakan solat ini.

Bagaimanapun, paling minimum qiamullail ialah menunaikan solat witir satu rakaat. Apa yang lebih penting dalam Islam ialah melakukan ibadat itu biar sedikit tetapi istiqamah yakni dibuat berterusan.

Dalam bulan Ramadan ini, menunaikan solat tarawih sudah dikira sebagai qiamullail. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang bangun (qiamullail) pada bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan akan diampun dosanya yang terdahulu. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Apa yang lebih penting ialah falsafah di sebalik qiamullail. Di dalamnya terkandung sifat ikhlas di mana kita beribadat seorang diri pada waktu orang lain nyenyak tidur di tilam yang empuk.

Maknanya, tidak ada unsur riak dalam kita melakukan ibadat ini.

Apakah kelebihan mengamalkan qiamullail. Adakah ia boleh menampung kekurangan pahala berpuasa?

SYAIKH ISMAIL: Orang yang mengamalkan qiamullail ini akan diangkat darjat mereka.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah, Dan pada sebahagian malam hari bersolat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhan mengangkat kamu ke tempat yang terpuji. (al-Isra’: 79)

Selain itu, Nabi s.a.w bersabda, Hendaklah kamu bersolat malam. Sesungguhnya ia amalan yang soleh sebelum kamu, amalan yang mendekatkan kepada Tuhanmu, penghapus kesalahan dan pencegah dosa. (riwayat Muslim)

Bagaimanapun, qiamullail ini adalah ibadat yang berbeza dan tidak boleh menampung kekurangan pahala berpuasa.

Kalau tidak mahu cacat pahala puasa, kita jangan melakukan perkara yang buruk, bercakap yang sia-sia dan menjauhkan maksiat.

Rasulullah yang maksum juga tidak meninggalkan qiamullail ini. Bagaimanakah cara untuk mendidik membiasakan diri menunaikannya?

SYAIKH ISMAIL: Rasulullah pernah ditanya oleh saidatina Aisyah r.a, mengapakah baginda berqiamullail sehingga bengkak kaki baginda kerana berdiri terlalu lama sedangkan baginda adalah maksum, baginda menjawab, apakah tidak aku menjadi hamba yang bersyukur.

Dan dalam bulan Ramadan, Nabi s.a.w bukan sahaja bangun beribadat waktu malam tetapi mengejutkan isteri dan ahli keluarganya untuk sama-sama beribadat kepada Allah.

Aisyah r.a berkata, Rasulullah s.a.w apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, baginda menghidupkan malam (dengan ibadat), mengejutkan keluarganya (bangun beribadat), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah dari isteri-isterinya. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Untuk membiasakan diri melakukan ibadat ini, hendaklah kita sentiasa menunaikan solat. Cuba istiqamah melakukannya selama 40 waktu atau 40 hari. Sebabnya, ulama menyebut, jika kita solat subuh selama 40 waktu berturut-turut tanpa tinggal, insya-Allah kita akan kekal menunaikannya.

Kita juga perlu sabar dalam melaksanakan ibadat. Ini amat penting terutama pada kali pertama kita melakukan qiamullail. Apabila dah biasa tidak ada masalah lagi.

Analoginya, kalau kita hendak upah atau gaji yang lebih sudah tentu kena kerja keras atau lebih masa. Demikian juga untuk mendapat ganjaran pahala besar yang dijanjikan oleh Allah kita kena berusaha melakukan qiamullail. Kita kenalah berkorban sedikit seperti mengurangkan waktu tidur.

Selain, qiamullail apakah zikir-zikir yang mudah dibaca tetapi berat timbangannya yang boleh diamalkan oleh umat Islam?

SYAIKH ISMAIL: Paling utama ialah membaca al-Quran seperti yang disebutkan tadi. Lain-lain ialah zikir seperti La ila ha illallah, subhanallah, alhamdulillah, allahu akbar.

Kita juga hendaklah membanyakkan istighfar memohon keampunan Allah.

Apa pula peluang yang perlu direbut terutama pada lailatul qadar?

SHAIKH ISMAIL: Hendaklah kita berusaha mencari lailatul qadar kerana pahala beribadat pada malam ini adalah menyamai 1,000 bulan atau 84 tahun. (al-Qadr: 3)

Ini adalah bonus yang Allah bagi kepada umat Nabi Muhammad yang rata-rata umur mereka ialah sekitar 60 ke 70 tahun berbanding umat terdahulu yang usia mereka mencecah beribu tahun.

Malam ini pula dikatakan berlaku pada malam ganjil 10 terakhir Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w: Carilah lailatul qadar pada malam ganjil 10 malam terakhir. (riwayat Bukhari)

Oleh itu, janganlah kita sia-siakan peluang yang Allah berikan kepada kita tahun ini kerana belum tentu kita akan bertemu Ramadan tahun depan.

Rahsia kedatangan malam al-Qadar galak ummah perbanyak ibadat

sumber : berita harian ( Selasa, 02 Oktober 2007 )

RAMADAN kini masuk fasa ketiga yang mana pada malam sepuluh terakhir bulan mulia ini dianugerahkan Allah satu malam penuh berkat iaitu Lailatul Qadar yang disebutkan-Nya sebagai malam lebih baik daripada 1,000 bulan.

Banyak hadis menceritakan tarikh kedatangan Lailatul Qadar. Antaranya hadis diriwayatkan Aisyah katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Carilah dengan sedaya upaya malam al-Qadar pada malam ganjil dari 10 malam terakhir pada Ramadan." (Hadis riwayat Bukhari).

Bagaimanapun, tarikh Lailatul Qadar sebenarnya tidak diketahui dengan tepat. Sesungguhnya, kedatangan Lailatul Qadar yang diturunkan Allah rahmat, limpahan kurnia dan keampunan-Nya adalah rahsia Allah kepada hamba-Nya.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zawawi Yusoh berkata, hikmah Allah menyembunyikan Lailatul Qadar bagi menggalakkan umatnya mencari serta menantikan malam itu dengan memakmurkan sepuluh malam penghujung Ramadan.

Beliau berkata, malam itu juga disembunyikan kerana kelebihan Lailatul Qadar tidak diberikan kepada sebarangan orang, sebaliknya dikurniakan kepada mereka yang benar-benar berusaha mencari serta menantikan malam yang mahal harganya itu.

Bagaimanapun katanya, atas permintaan sahabat, Rasulullah SAW berdoa kepada Allah untuk mengetahui tarikh sebenar Lailatul Qadar, tetapi selepas bertembung dengan dua orang yang berbalah mengenai Ramadan, ditakdirkan Allah, Rasulullah SAW lupa tarikh itu. "Sebenarnya bukan tarikh Lailatul Qadar saja yang Allah sembunyikan kerana bila kiamat dan bila datangnya ajal kita pun Allah tidak nyatakan. Sebabnya supaya kita sentiasa bersiap sedia. Bagi Lailatul Qadar, tujuannya supaya kita memakmurkan sepuluh malam terakhir Ramadan.


"Ada orang tidak mahu pergi solat Tarawih sepuluh malam pertama kerana tidak ada qadar dan hanya hendak pergi sepuluh malam terakhir untuk merebut Lailatul Qadar. Malam berkat ini ibarat main bola juga, nak masuk pusingan akhir kena menang pusingan pertama dan kedua. Mana ada terus masuk akhir.

"Justeru, malam ini perlu kita cari dan bagi yang mencari persiapan mereka ialah dengan memakmurkan semua malam dan mengikut hadis, Lailatul Qadar ialah malam ganjil 21, 23, 25, 27, 29 Ramadan," katanya.

Beliau yang menjadi ahli panel program bual bicara Halaqah terbitan TV9 yang disiarkan malam kelmarin berkata, sesiapa yang berjumpa dengan Lailatul Qadar diingatkan supaya solat Maghrib, Isyak dan Subuh secara berjemaah.

Katanya, Rasulullah SAW bersabda siapa yang solat Isyak berjemaah pada Lailatul Qadar seolah beribadat separuh malam dan solat Subuh berjemaah akan mendapat pahala ibadat separuh malam lagi.

Selain itu katanya, mereka yang dianugerahkan peluang menikmati Lailatul Qadar digalakkan membanyakkan doa dan sebaiknya membangunkan seluruh ahli keluarga atau jemaah masjid jika beriktikaf di masjid kerana Rasulullah SAW menggerakkan seluruh keluarga untuk bersama memakmurkan malam Ramadan bagi berjumpa Lailatul Qadar.

"Kesungguhan Nabi Muhammad SAW menanti Lailatul Qadar, Baginda tidak menghampiri isteri pada malam 10 terakhir itu. Nabi juga mandi pada waktu Maghrib dan memakai bau-bauan kerana malam itu malaikat akan turun untuk bersolat bersama," katanya.

Pegawai Khas Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Firdaus Ismail yang juga ahli panel program itu berkata, bagi mereka yang mencari serta beribadat pada setiap malam penghujung Ramadan, akan mendapat kelebihan Lailatul Qadar.

Beliau berkata, walaupun tiada tarikh tetap mengenai Lailatul Qadar, tetapi ada petunjuk jelas kerana banyak riwayat menyatakan supaya mencari malam sepuluh terakhir yang bilangannya ganjil.

Bagaimanapun katanya, jangan disebabkan ada nas mengatakan untuk mencari pada malam ganjil, hanya pada malam berkenaan ramai yang pergi bersolat Tarawih kerana adalah lebih baik dimakmurkan sepuluh malam terakhir bulan Ramadan.

Katanya, petunjuk kedua untuk mengetahui kedatangan Lailatul Qadar ialah berdasarkan fenomena alam, tetapi tidak ada dalil jelas mengenainya melainkan sahih Bukhari yang menjelaskan mimpi dialami Rasulullah SAW.

Diriwayatkan, Rasulullah bermimpi pada malam 21 Ramadan, Baginda bersujud atas lumpur dan air. Maka Baginda SAW meminta sahabat menyambung beriktikaf pada malam itu dan kebetulan apa yang dimimpikan Rasulullah SAW benar-benar berlaku.

"Dalam mimpi itu hujan turun lebat tetapi sahabat lihat tidak ada tanda hujan. Namun sebentar kemudian mula mendung dan hujan turun mencurah. Masjid Nabi bocor dan air melimpah seperti dalam mimpi, Nabi SAW sujud atas lumpur.

"Itu dari segi fenomena alam, tetapi Rasulullah SAW tidak pernah menjurus dengan tetap. Pada pandangan saya carilah Lailatul Qadar pada hujung sepuluh Ramadan dan hidupkan ia dengan memperbanyakkan amalan untuk mendapat kelebihan Lailatul Qadar.

"Kita berusaha dan berdoa semoga apa yang Allah anugerah ini menjadi milik kita. Kita perlu rasa cemburu dengan malam Lailatul Qadar seperti mana sahabat cemburu kisah pahlawan Bani Israel yang berjuang selama 1,000 bulan.
Maka rebut malam ini untuk mendapat kelebihan di sisi Allah," katanya.

Ufuk Minda: Ramadan jana produktiviti rohaniah

Bersama Prof Dr Sidek Baba

SERING timbul persoalan pada Ramadan upaya kerja seseorang manusia ada batasnya. Secara fizikal ia ada kebenarannya, tetapi itu tidak bermakna Ramadan menyediakan ruang kepada yang malas dan culas kerana ia bakal menjejas produktiviti.

Suatu hal yang harus diinsafi ialah menghayati Ramadan dalam erti kata sebenarnya, ia bakal menjana produktiviti rohaniah yang amat penting bagi seseorang manusia dan sesebuah organisasi.

Produktiviti rohaniah bermaksud bagaimana mengawal diri daripada lapar dan dahaga menimbulkan insaf kemanusiaan yang tinggi terhadap golongan miskin. Ia bakal melahirkan manusia yang bersyukur terhadap rezeki diterima dan sentiasa ingat serta sedia membantu golongan tidak berada dan amat memerlukan.

Produktiviti rohaniah juga membawa insaf-ketuhanan yang tinggi bahawa apa saja kita lakukan dalam hidup ini, tidak akan terlepas daripada pengetahuan dan pemerhatian Allah. Inilah yang dikatakan jiwa muttaqin.

Jiwa muttaqin terpancar kerana asas keimanan manusia dengan Allah amat hebat dan darinya lahir jiwa takwa yang sentiasa mengaitkan perbuatan dan amalan untuk mendapat reda-Nya. Allah memberikan matlamat melakukan puasa ialah untuk membangunkan jiwa muttaqin.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."
(Surah al Baqarah, ayat 183)

Malah, ukuran kecemerlangan manusia juga diukur di kalangan orang yang muttaqin seperti firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa." (Surah al Hujurat, ayat 13)

Jiwa muttaqin dalam bahasa manusiawinya ialah membawa asas takut. Kita menghormati undang-undang bukan kerana kita takut kepada polis atau penguatkuasa. Undang-undang itu dipatuhi kerana ia memberi kebaikan kepada manusia dan pengguna.

Sifat patuh itu adalah ciri orang yang muttaqin. Manusia patuh kepada arahan ketua bukan kerana takut kepada ketua, tetapi hikmah kepatuhan kepada ketua membawa kebaikan kepada organisasi.

Manusia patuh kepada pemimpin yang amanah dan adil bukan kerana takut dengan kedudukan yang ada pada pemimpin, tetapi hikmah kepatuhan kepada pemimpin menyebabkan amanah dan keadilan dapat berjalan dengan baik.

Landasan patuh itu dilakukan kerana Allah (ikhlas) baik pemimpin dan orang yang dipimpin perlu ada suatu ikatan yang menyebabkan wujudnya ketelusan yang menghubungkan dirinya dengan Allah.

Jiwa muttaqin dalam bahasa rohaniahnya membimbing manusia kepada kawalan hawa nafsu secara fitrah. Sifat jelik dalam batasan nafsu amarah bissuk atau nafsu haiwani dimurnikan supaya batasan nafsu mutmainnah atau nafsu insani mengambil tempat.

Jika Ramadan dilalui dengan keinsafan mendalam terhadap kelemahan dan kekurangan diri, ia bakal menampilkan manusia kembali kepada fitrah. Melupuskan sifat mazmumah iaitu yang terkeji daripada diri ke arah sifat mahmudah atau terpuji adalah suatu proses rohaniah.

Ramadan memberi peluang sangat luas bagi manusia kembali kepada fitrah diri dan melupakan hal jelik dalam hidup dan perangainya supaya perubahan itu memberi hikmah kepada diri, keluarga, masyarakat dan sistem pentadbiran.

Produktiviti rohaniah mempunyai talian rapat dengan nilai. Kukuhnya nilai rohaniah bermakna sifat amanah, adil, jujur, ikhlas, telus dan tulus akan sentiasa subur dalam diri manusia. Ahli ibadah menghubungkan amalannya langsung dengan Allah.

Ketika kita berpuasa, kita menahan lapar dan dahaga daripada makan dan minum. Perkara itu mungkin boleh diatasi dengan mengunci diri di dalam bilik kemudian melakukan sesuatu yang menyalahi rukun berpuasa sekiranya pertimbangan terhadap manusia menjadi sandaran.

Tetapi apabila pertimbangan Allah mengambil tempat, kita memiliki pertimbangan, walaupun manusia tidak melihat, dalam melakukan ibadat ini, kita berasakan Allah melihat perilaku kita. Inilah yang disebutkan Rasulullah SAW, sifat ihsan yang tinggi bagi seseorang insan.

Keihsananlah menjadi titik tolak yang amat penting dalam melakukan sesuatu. Kita yakin dalam melakukan sesuatu khususnya yang bernilai ibadat, walaupun kita tidak melihat Allah, tetapi wujud keyakinan yang kuat bahawa Allah melihat kita. Asas amalan ini jika dikembangkan dalam diri, kepemimpinan keluarga dan organisasi, ia menjadikan seseorang itu berjiwa muttaqin.

Nilai yang bersifat rohaniah adalah sesuatu yang boleh dimanifestasikan. Ia terlihat dalam amal, perbuatan dan pekerti. Pekerti Rasulullah SAW yang mulia memang boleh dilihat. Kesabarannya, kebijaksanaannya, kejujuran dan kecekalan menjadi amalan hidupnya.

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik untuk kita. Oleh itu, memahami faktor kekuatan rohaniah tidak saja memahami kekuatan dalaman diri manusia, tetapi sifatnya terpancar di luar diri dalam bentuk amalan dan perbuatan yang baik.

Ramadan diibaratkan bateri yang memiliki kuasa menggerakkan sesuatu. Pada diri manusia memerlukan kekuatan supaya kehidupan dapat berjalan dengan baik. Bateri perlu melalui proses cas dan dicas.

Berpuasa, solat tarawih, tadarus, berbuka, bersahur, menahan diri daripada lapar dan dahaga, menjaga pancaindera daripada amalan buruk, melakukan doa dan istighfar sebanyak-banyaknya adalah amalan bersifat rohaniah dan memberikan cas terhadap jiwa dan hati.

Jika proses itu berlaku dengan baik dan sempurna, manusia akan memiliki kekuatan dalaman yang tinggi dan boleh menggerakkan diri serta kehidupan ke arah yang diredai Allah. Sekolah Ramadan ini yang memberikan fokus kepada produktiviti rohaniah bakal menggilap peribadi hamba Allah yang bakal lahir sebagai manusia baru dengan jiwa baru tunjangan jiwa muttaqin.

Jika matlamat itu dirasakan berlaku dalam hidup seseorang, maka penghayatan Ramadan memberi kesan perubahan. Sebaliknya selepas menjalani Sekolah Ramadan, tidak ada perubahan sikap, mentaliti dan amalan berlaku, bermakna Ramadan hanya suatu rutin bukan membangunkan jiwa muttaqin.

Tazkirah Ramadan: Nuzul Quran merubah sikap Muslim

Muslim dan al-Quran

Sesungguhnya dengan turunnya al-Quran pada bulan Ramadan sejak lebih 1,400 tahun lalu, telah menyelamatkan manusia daripada melakukan tabiat serta tingkah laku yang tidak selari dengan fitrah mereka sendiri.

Ia menjadi inspirasi ke arah kebaikan kerana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat yang mampu merubah sikap manusia kepada sesuatu yang positif dalam hidup mereka.

Sayidina Omar bin al-Khattab yang dulunya dikenali sebagai seorang yang bengis dan amat membenci Rasulullah s.a.w. telah menemui jalan terbaik dalam hidupnya apabila dipertemukan dengan al-Quran yang akhirnya memeluk Islam.

Yang menariknya, Omar telah memeluk Islam hanya kerana membaca dan menatap beberapa potong ayat Quran daripada surah Taha dan setelah mengucap dua kalimah syahadah. Omar menjadi seorang Muslim yang amat komited dan yakin dengan Islam. Omar, setelah mengucap, terus mengisytiharkan keislamannya kepada seteru tradisi Rasulullah termasuk Abu Jahal.

Begitulah jauhnya perbezaan Omar dengan umat Islam pada akhir zaman ini. Tetapi yang peliknya, Omar dan umat akhir zaman juga mengharapkan untuk mendapat syurga dan rahmat pada hari pembalasan, sedangkan cara hidup dan keyakinan mereka amat berbeza.

Apa yang dimaksudkan dengan Nuzul al-Quran?

Nuzul yang diambil daripada perkataan bahasa Arab diertikan sebagai penurunan, sementara al-Quran pula merupakan kitab Allah yang diberikan kepada Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Jadi istilah Nuzul al-Quran boleh diertikan sebagai penurunan al-Quran ke atas baginda Rasulullah sebagai petunjuk kepada umat manusia sejagat.

Waktu turunnya al-Quran?

Allah menjelaskan dalam surah al-Qadr, bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang dikenali sebagai -Lailatul Qadr-, pokok daripada ajaran isi kandungan surah ini ialah al-Quran mula diturunkan pada malam tersebut yang nilainya lebih baik daripada 1,000 bulan, para Malaikat dan Jibril turun ke dunia pada malam tersebut untuk mengatur segala urusan.

Surah al-Qadr ini pula diturunkan di kota Makkah dan dihimpunkan dalam surah-surah Makkiyyah, iaitu surah yang diturunkan sebelum hijrah baginda Rasulullah s.a.w ke Madinah, isi pengajarannya ialah beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain.

Kenapa al-Quran diturunkan dan apakah fungsinya yang sebenar?

Dalil daripada al-Quran:

1- Ayat 15-16 surah al-Maidah : -Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad) dari Allah dan kitab yang menerangkan (al-Quran). Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, (dan dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.-

2- Dalam ayat 9 surah al-Hadid : -Dialah (Allah) yang menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad) ayat-ayat yang terang (al-Quran) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (Islam).-

Jelas dari keterangan kedua-dua ayat di atas menunjukkan bahawa fungsi sebenar penurunan al-Quran ke atas manusia, tidak lain adalah untuk menyelamatkan mereka dari terus berada dalam kegelapan dunia yang terpaksa meraba-raba serta tanpa hala tuju hidup yang jelas dan sempurna kepada cahaya Islam, tidak cukup dengan itu, Allah SWT melalui kitabNya itu bertujuan untuk memimpin mereka ke jalan yang benar dengan memberikan kepada mereka petunjuk kebenaran agar mereka ditempatkan ke dalam syurga di akhirat kelak.

Dalil daripada hadis Nabi Muhammad s.a.w.: -Dari Ali Karramallahu Wajhahu, katanya: Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah Salallahu Alayhi Wasallam bersabda: "Sesungguhnya akan berlaku fitnah yan banyak." Aku pun bertanya: "Apakah jalan keluar darinya duhai Rasulullah?" Baginda menjawab: Kitabullah (al-Quran). Kerana di dalamnya terdapat kisah-kisah orang dan perkara sebelum kamu dan perkhabaran tentang apa yang akan datang sesudah kamu; dan terdapat di dalamnya hukum-hakam di antara kamu; Ia (al-Quran) adalah kata putus dan bukan senda gurau; sesiapa yang meninggalkannya (menolaknya) kerana sombong, ia akan dibinasakan oleh Allah; dan sesiapa sahaja yang mencari petunjuk selain darinya akan disesatkan oleh Allah; Ia adalah tali Allah yang teguh dan ia adalah pengajaran (peringatan) yang bijaksana. Ia adalah as-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus); Ia adalah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng dan terpesong; dan Ia adalah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak samar dan berputar-belit; dan para ulama pula tidak pernah puas menggali ilmu darinya (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan pernah hilang dan kandungannya menakjubkan, tidak berkesudahan. Ia adalah kitab yang jin tidak berhenti mendengarnya sehingga mereka berkata, "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, ia menunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." Sesiapa sahaja berkata dengannya, benarlah perkataannya; sesiapa yang beramal dengannya, dia akan diganjari pahala, sesiapa yang berhukum dengannya, adillah dia dan sesiapa yang menyeru kepadanya, nescaya dia akan diberi petunjuk Siratil Mustaqim (jalan yang lurus) - HR Tirmizi dan Darimi.

Keterangan maksud hadis mengenai fungsi al-Quran

Memang benar dan tepat sekali penjelasan baginda s.a.w. seperti dalam hadis di atas, bahawa pada akhir zaman akan berlaku terlalu banyak fitnah yang ditimpakan ke atas Islam dan Muslimin.

Sama ada fitnah itu dilakukan oleh mereka yang bukan Islam yang menaruh sifat benci amat mendalam serta dendam kesumat terhadap Islam dan umatnya, ataupun dilakukan sendiri oleh mereka yang bernama Islam.

Antara fitnah yang dilakukan oleh orang Islam sendiri seperti meninggalkan solat tanpa alasan atau sebab yang boleh diterima kerana menonton pertandingan bola sepak, pertandingan akhir mencari juara bintang popular dan sebagainya, tidak kurang juga golongan remaja muda dan tua yang tidak mengenakan kod berpakaian yang disyariatkan oleh Allah SWT, terlibat dalam pembunuhan, perjudian, rasuah, pecah amanah, penipuan dalam pilihan raya dan banyak lagi.

Kesemua yang disebutkan itu adalah fitnah yang menyukarkan golongan pendakwah untuk menyampaikan mesej Islam kepada bukan Islam tentang keindahan agama Islam kerana tindakan-tindakan liar itu menjadi batu penghalang kepada bukan Islam untuk menerima Islam, ataupun minat, cenderung atau simpati kepadanya.

Justeru, yang boleh menyelamatkan keadaan dan dari fitnah-fitnah tersebut adalah kitab suci al-Quran, kerana tujuan ia diturunkan seperti yang dijelaskan dalam ayat-ayat di atas adalah untuk meneylamatkan bangsa manusia serta mempimpin mereka ke jalan kebenaran.

Cara bagaimana al-Quran diturunkan

Menurut Imam as-Suyuti dalam kitabnya al-Itqan: Al-Quran diturunkan ke langit dunia pada malam al-Qadr secara sekali gus, kemudian diturunkan pula secara berperingkat selama dua puluh tahun, ada pendapat yang mengatakan dua puluh tiga tahun dan ada pula dua puluh lima tahun sejak Nabi Muhammad dilantik menjadi Nabi dan Rasul berdasarkan peristiwa dan keadaan tertentu yang hanya diketahui oleh Allah SWT pada tempoh tersebut.

Tetapi kenapa al-Quran diturunkan sekali gus ke langit dunia dan diturunkan tidak sekali gus malah berperingkat-peringkat ke atas baginda, perkara ini telah dijawab oleh Allah menerusi ayat 32 surah al-Furqan yang bermaksud: -Berkatalah orang-orang Kafir : Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepada (Muhammad) sekali turun sahaja? Demikianlah (dengan cara itu) supaya Kami perkuatkan hatinya dan Kami membacanya kelompok demi kelompok (secara ansur-ansuran).-

Surah pertama turun dalam al-Quran

Menurut Imam as-Suyuti, surah pertama turun secara keseluruhan isi kandungannya ialah surah al-Muddathir, sementara riwayat Imam at-Tabarani pula surah yang sempurna diturunkan ialah al-Fatihah dan ada pendapat yang mengatakan ialah surah al-Alaq yang diturunkan hanya lima ayat pertama. Walau bagaimanapun mengikut susunan para ulama: Surah al-Alaq yang pertama diturunkan secara mutlak mengikut pendapat jumhur. Surah al-Muddathir pertama diturunkan dalam konteks menyampaikan mesej dakwah. Surah al-Fatihah pula pertama diturunkan sebagai pembuka kepada surah-surah lain dalam al-Quran.

Ayat terakhir turun dalam al-Quran

Perkara ini juga diperselisihkan oleh beberapa pendapat ulama berdasarkan riwayat hadis tertentu:

Pendapat pertama: Ayat terakhir turun ialah ayat mengenai pengharaman riba daripada ayat 278 surah al-Baqarah: -Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu benar-benar orang-orang yang beriman.- ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ibnu Abbas.

Pendapat kedua: Ayat 281 surah al-Baqarah: -Dan peliharalah diri kamu dari (azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah.- Ia berdasarkan riwayat an-Nasaie daripada Ibnu Abbas dan Said Bin Jubair.

Pendapat ketiga: Ayat 282 surah al-Baqarah yang menceritakan tentang kesaksian dalam muamalat, iaitu ayat yang terpanjang dalam al-Quran. Ia berdasarkan riwayat Said Bin al-Musaiyab.

Pendapat keempat: Ayat 3 surah al-Maidah: -Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam itu menjadi agama bagi kamu.-

Perbezaan pendapat di atas berlaku adalah disebabkan riwayatnya tidak sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w, ia hanya terjenti setakat di kalangan para sahabat, maka masing-masing menyatakan keyakinan yang dipercayai yang tidak menjejaskan pegangan akidah mereka, walau bagaimanapun menurut para ulama, kecenderungan mereka kepada pendapat keempat berdasarkan apa yang dibacakan oleh baginda sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir untuk bertemu Tuhannya.

Apakah yang ada dalam al-Quran?

Sesungguhnya isi-isi kandungan meliputi pelbagai aspek yang diperlukan oleh manusia bagi mengurus kehidupan mereka dengan lebih sistematik. Dalam al-Quran terdapat ayat yang mengisahkan tentang cerita orang-orang terdahulu dan akan datang (pada hari kiamat) yang sepatutnya menjadi contoh teladan umat Islam hari ini, kerana ayat-ayat cukup sesuai sampai bila-bila, ini menunjukkan bahawa Allah SWT yang memiliki kitab suci tersebut bersifat Maha Sempurna dalam segenap tindak-tanduk-Nya.

Tidak kurang juga al-Quran memberi panduan untuk beramal ibadat seperti ayat-ayat wuduk, solat, perkahwinan, sistem kewangan, politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, alam sekitar, sains, kaji hayat, sejarah dan banyak lagi yang tidak dapat untuk disenaraikan satu persatu di sini.

Ia juga merakamkan ayat mengenai akidah, ibadat, hubungan manusia dengan Tuhannya, penganjuran supaya berakhlak mulia dan meninggalkan akhlak tercela, cerita tentang azab dan nikmat, syurga dan neraka dan lain-lain.

Apa yang penting, al-Quran bukanlah kitab kuno atau doktrin yang hanya sesuai di zaman unta semata-mata seperti yang didakwakan oleh sesetengah para ilmuan termasuk di kalangan orang Islam, malah ia lebih kepada kitab yang memberi pedoman dan panduan berguna menuju jalan keselamatan hidup di dunia dan akhirat dalam segenap bidang yang mereka perlukan.

Sikap Muslim terhadap al-Quran

Tidak semua di kalangan manusia yang bernama Islam memiliki cita-rasa yang sama terhadap al-Quran, perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah SWT menerusi ayat 32 surah Fatiir yang bermaksud: -Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yanag kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiayai diri mereka sendiri, ada di antara mereka yang bersederhana dan di antara mereka ada yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar.- Sesungguhnya di kalangan hamba Allah yang diwariskan Allah al-Quran kepada mereka adalah yang bernama Islam (Muslimun), sedangkan Kristian, Sekular, Kapitalis, Sosialis, Komunis dan sebagainya adalah hamba Allah yang menolak kebenaran al-Quran secara mutlak.

Namun dalam ayat di atas terdapat tiga jenis manusia di kalangan hamba Allah yang Islam yang berbeza pendirian atau sikap mereka terhadap al-Quran:

1- Yang menganiayai diri mereka sendiri : Iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan, kerana mereka tidaka membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi untuk beramala dengan perintah Allah di dalamnya.

2- Adapun golongan yang bersederhana : Ialah golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala, mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia untuk melaksanakan isi-isi kandungannya yang terdiri daripada hukum-hakam Allah.

3- Sementara golongan yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan : Ialah golongan yang amat banyak kebaikan yang dilakukannya dan amat jarang berbuat kesalahan, mereka adalah golongan yang bersedia untuk melaksanakan hukum perintah Allah dalam al-Quran seperti hukum Hudud, Qisas dan Taâzir, kerana hukum-hukum itu sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat manusia sepanjang masa.

Terserahlah kepada kita untuk meletakkan kedudukan diri di antara tiga jenis orang Islam seperti ayat di atas, apa yang jelas, al-Quran bukanlah kitab untuk dipertandingkan semata-mata, malah lebih daripada itu bagi mencapai maksud untuk mendapatkan cahaya keredaan Allah SWT.

Contoh ayat motivasi dalam al-Quran yang sepatutnya dikuasai

1- Sesungguhnya yang membaca al-Quran serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah mereka yang bernama Islam, kerana orang bernama Ah Chong atau Arumugam tidak sekali-kali membacanya melainkan mereka hendak mendekati Islam, tetapi yang menjadi tanda tanya di sini, mengapa Allah lontarkan persoalan kepada seorang Muslim yang membaca al-Quran seperti pertanyaan-Nya dalam ayat 101 surah Ali -Imran yang bermaksud : -Bagaimana kmu sampai menjadi kafir, pada hal ayat-ayat (al-Quran) dibacakan kepada kamu dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu?-

Ayat di atas menunjukkan kepada kita bagaimana terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan Rasulullah berada di sisinya, iaitu apabila menganjurkan Musabaqah Tilawah al-Quran, mengadakan majlis Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Israk Mikraj dan sebagainya, namun akhirnya tidak dapat menerima petunjuk Allah malah menjadi golongan yang menentang (kafir) kebenaran.

2- Menerusi ayat 10 surah Fatir bermaksud: -Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya, kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal solih dinaikkannya.-

Ayat di atas menggambarkan kepada bagaimana Allah SWT memberikan kemuliaan kepada kita sebagai manusia akan kemuliaan-Nya agar kita menjadi golongan yang mulia, ia menunjukkan bahawa dengan cara memberi atau mendengar perkataan dalam majlis ilmu, kuliah, ceramah atau forum agama seseorang itu akan dimuliakan Allah SWT.

Inilah satu pendekatan yang mampu untuk mengisi kekosongan jiwa manusia pada hari ini, namun manusia tetap angkuh disebabkan tidak berusaha untuk mendapatkan kemuliaan daripada Allah, mereka memilih jalan yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam neraka-Nya.

Tadarus al-Quran pada bulan Ramadan

Perkataan tadarus telah dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis (hadis yang ke-36 dalam hadis 40 susunan Imam an-Nawawi), daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. bersabda : -Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan bertadarus (berdiskusi isi kandungannya) di kalangan mereka, melainkan perhimpunan mereka itu diturunkan ketenangan daripada Allah, diliputi dengan rahmat-Nya, dikelilingi dengan para Malaikat dan Allah akan mengingati mereka yang ingat kepada-Nya.-

Menurut hadis di atas, baca disebut tilawah, sedangkan tadarus ialah berdiskusi segala isi kandungan al-Quran, sama ada dari sudut hukum-hakam ilmu tajwid, persoalan ilmu sains meliputi persoalan kejadian manusia, tumbuh-tumbuhan, ilmu alam, ilmu kaji hayat, cakrawala dan berbagai-bagai macam lagi yang perlu diterokai, ayat-ayat syurga dan neraka, ayat-ayat mengenai tentang dosa dan pahala, ayat-ayat motivasi (tazkirah) dan sebagainya yang tidak dapat dihitung dengan sepuluh jari, ia bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Apa yang penting, Ramadan tahun ini menjadikan kita umat yang suka bertadarus (berdiskusi, mengkaji) isi-isi kandungan al-Quran termasuklah memperelok sebutan huruf-huruf al-Quran dengan memperdalami hukum-hukum ilmu tajwid, supaya Ramadan kali ini benar-benar meninggalkan seribu kenangan berbanding tahun-tahun sebelum ini, sekali gus merubah keadaan diri kita kepada suka membaca, mengkaji serta beramal dengan al-Quran, mudah-mudahan dengan cara itu kita menjadi graduan Ramadan cemerlang pada kali ini, Amin.

Rrujukan

1- Kaifa Nahya Bil Quran - Nabih Zakariya AbdRabbih - Dar al-Haramain, Mesir - 1983.

2- Kaifa Nataddab Maal Mashaf - Muhammad Rejab Farjani -Dar al--Itisom, Mesir 1976.

3- www.islamonline.net

4- www.islamweb.net


Meraih rahmat Allah di Malam Lailatul Qadar

T

azkirah Ramadan | Umat Islam di seluruh dunia akan memasuki fasa ketiga pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain pada minggu hadapan, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud: "Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3) .

Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr

Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.

Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Hikmah dirahsiakan kehadirannya

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. "Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr

Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.

Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.

Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

Fokus umat pada malam tersebut

Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:

Menghayati malam tersebut dengan ibadah

Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.

Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Fadilat Lailatul Qadr

Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)?

Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku Risalah Qiyam Ramadan) :

"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :'Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu' - [Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].

Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :

"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail.

Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :"Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut. (Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341).

Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :

"Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam, dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam (sumber yang sama - 6342)."

Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal yang solih, Insya Allah. - MTJ.


IKHLAS DARI USTAZ MOHD TAJUDIN B JAMALUDIN-----------