Tuesday, October 2, 2007

Rahsia kedatangan malam al-Qadar galak ummah perbanyak ibadat

sumber : berita harian ( Selasa, 02 Oktober 2007 )

RAMADAN kini masuk fasa ketiga yang mana pada malam sepuluh terakhir bulan mulia ini dianugerahkan Allah satu malam penuh berkat iaitu Lailatul Qadar yang disebutkan-Nya sebagai malam lebih baik daripada 1,000 bulan.

Banyak hadis menceritakan tarikh kedatangan Lailatul Qadar. Antaranya hadis diriwayatkan Aisyah katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Carilah dengan sedaya upaya malam al-Qadar pada malam ganjil dari 10 malam terakhir pada Ramadan." (Hadis riwayat Bukhari).

Bagaimanapun, tarikh Lailatul Qadar sebenarnya tidak diketahui dengan tepat. Sesungguhnya, kedatangan Lailatul Qadar yang diturunkan Allah rahmat, limpahan kurnia dan keampunan-Nya adalah rahsia Allah kepada hamba-Nya.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zawawi Yusoh berkata, hikmah Allah menyembunyikan Lailatul Qadar bagi menggalakkan umatnya mencari serta menantikan malam itu dengan memakmurkan sepuluh malam penghujung Ramadan.

Beliau berkata, malam itu juga disembunyikan kerana kelebihan Lailatul Qadar tidak diberikan kepada sebarangan orang, sebaliknya dikurniakan kepada mereka yang benar-benar berusaha mencari serta menantikan malam yang mahal harganya itu.

Bagaimanapun katanya, atas permintaan sahabat, Rasulullah SAW berdoa kepada Allah untuk mengetahui tarikh sebenar Lailatul Qadar, tetapi selepas bertembung dengan dua orang yang berbalah mengenai Ramadan, ditakdirkan Allah, Rasulullah SAW lupa tarikh itu. "Sebenarnya bukan tarikh Lailatul Qadar saja yang Allah sembunyikan kerana bila kiamat dan bila datangnya ajal kita pun Allah tidak nyatakan. Sebabnya supaya kita sentiasa bersiap sedia. Bagi Lailatul Qadar, tujuannya supaya kita memakmurkan sepuluh malam terakhir Ramadan.


"Ada orang tidak mahu pergi solat Tarawih sepuluh malam pertama kerana tidak ada qadar dan hanya hendak pergi sepuluh malam terakhir untuk merebut Lailatul Qadar. Malam berkat ini ibarat main bola juga, nak masuk pusingan akhir kena menang pusingan pertama dan kedua. Mana ada terus masuk akhir.

"Justeru, malam ini perlu kita cari dan bagi yang mencari persiapan mereka ialah dengan memakmurkan semua malam dan mengikut hadis, Lailatul Qadar ialah malam ganjil 21, 23, 25, 27, 29 Ramadan," katanya.

Beliau yang menjadi ahli panel program bual bicara Halaqah terbitan TV9 yang disiarkan malam kelmarin berkata, sesiapa yang berjumpa dengan Lailatul Qadar diingatkan supaya solat Maghrib, Isyak dan Subuh secara berjemaah.

Katanya, Rasulullah SAW bersabda siapa yang solat Isyak berjemaah pada Lailatul Qadar seolah beribadat separuh malam dan solat Subuh berjemaah akan mendapat pahala ibadat separuh malam lagi.

Selain itu katanya, mereka yang dianugerahkan peluang menikmati Lailatul Qadar digalakkan membanyakkan doa dan sebaiknya membangunkan seluruh ahli keluarga atau jemaah masjid jika beriktikaf di masjid kerana Rasulullah SAW menggerakkan seluruh keluarga untuk bersama memakmurkan malam Ramadan bagi berjumpa Lailatul Qadar.

"Kesungguhan Nabi Muhammad SAW menanti Lailatul Qadar, Baginda tidak menghampiri isteri pada malam 10 terakhir itu. Nabi juga mandi pada waktu Maghrib dan memakai bau-bauan kerana malam itu malaikat akan turun untuk bersolat bersama," katanya.

Pegawai Khas Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Firdaus Ismail yang juga ahli panel program itu berkata, bagi mereka yang mencari serta beribadat pada setiap malam penghujung Ramadan, akan mendapat kelebihan Lailatul Qadar.

Beliau berkata, walaupun tiada tarikh tetap mengenai Lailatul Qadar, tetapi ada petunjuk jelas kerana banyak riwayat menyatakan supaya mencari malam sepuluh terakhir yang bilangannya ganjil.

Bagaimanapun katanya, jangan disebabkan ada nas mengatakan untuk mencari pada malam ganjil, hanya pada malam berkenaan ramai yang pergi bersolat Tarawih kerana adalah lebih baik dimakmurkan sepuluh malam terakhir bulan Ramadan.

Katanya, petunjuk kedua untuk mengetahui kedatangan Lailatul Qadar ialah berdasarkan fenomena alam, tetapi tidak ada dalil jelas mengenainya melainkan sahih Bukhari yang menjelaskan mimpi dialami Rasulullah SAW.

Diriwayatkan, Rasulullah bermimpi pada malam 21 Ramadan, Baginda bersujud atas lumpur dan air. Maka Baginda SAW meminta sahabat menyambung beriktikaf pada malam itu dan kebetulan apa yang dimimpikan Rasulullah SAW benar-benar berlaku.

"Dalam mimpi itu hujan turun lebat tetapi sahabat lihat tidak ada tanda hujan. Namun sebentar kemudian mula mendung dan hujan turun mencurah. Masjid Nabi bocor dan air melimpah seperti dalam mimpi, Nabi SAW sujud atas lumpur.

"Itu dari segi fenomena alam, tetapi Rasulullah SAW tidak pernah menjurus dengan tetap. Pada pandangan saya carilah Lailatul Qadar pada hujung sepuluh Ramadan dan hidupkan ia dengan memperbanyakkan amalan untuk mendapat kelebihan Lailatul Qadar.

"Kita berusaha dan berdoa semoga apa yang Allah anugerah ini menjadi milik kita. Kita perlu rasa cemburu dengan malam Lailatul Qadar seperti mana sahabat cemburu kisah pahlawan Bani Israel yang berjuang selama 1,000 bulan.
Maka rebut malam ini untuk mendapat kelebihan di sisi Allah," katanya.

No comments: