Bersama Prof Dr Sidek Baba
SERING timbul persoalan pada Ramadan upaya kerja seseorang manusia ada batasnya. Secara fizikal ia ada kebenarannya, tetapi itu tidak bermakna Ramadan menyediakan ruang kepada yang malas dan culas kerana ia bakal menjejas produktiviti.
Suatu hal yang harus diinsafi ialah menghayati Ramadan dalam erti kata sebenarnya, ia bakal menjana produktiviti rohaniah yang amat penting bagi seseorang manusia dan sesebuah organisasi.
Produktiviti rohaniah bermaksud bagaimana mengawal diri daripada lapar dan dahaga menimbulkan insaf kemanusiaan yang tinggi terhadap golongan miskin. Ia bakal melahirkan manusia yang bersyukur terhadap rezeki diterima dan sentiasa ingat serta sedia membantu golongan tidak berada dan amat memerlukan.
Produktiviti rohaniah juga membawa insaf-ketuhanan yang tinggi bahawa apa saja kita lakukan dalam hidup ini, tidak akan terlepas daripada pengetahuan dan pemerhatian Allah. Inilah yang dikatakan jiwa muttaqin.
Jiwa muttaqin terpancar kerana asas keimanan manusia dengan Allah amat hebat dan darinya lahir jiwa takwa yang sentiasa mengaitkan perbuatan dan amalan untuk mendapat reda-Nya. Allah memberikan matlamat melakukan puasa ialah untuk membangunkan jiwa muttaqin.
Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Surah al Baqarah, ayat 183)
Malah, ukuran kecemerlangan manusia juga diukur di kalangan orang yang muttaqin seperti firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa." (Surah al Hujurat, ayat 13)
Jiwa muttaqin dalam bahasa manusiawinya ialah membawa asas takut. Kita menghormati undang-undang bukan kerana kita takut kepada polis atau penguatkuasa. Undang-undang itu dipatuhi kerana ia memberi kebaikan kepada manusia dan pengguna.
Sifat patuh itu adalah ciri orang yang muttaqin. Manusia patuh kepada arahan ketua bukan kerana takut kepada ketua, tetapi hikmah kepatuhan kepada ketua membawa kebaikan kepada organisasi.
Manusia patuh kepada pemimpin yang amanah dan adil bukan kerana takut dengan kedudukan yang ada pada pemimpin, tetapi hikmah kepatuhan kepada pemimpin menyebabkan amanah dan keadilan dapat berjalan dengan baik.
Landasan patuh itu dilakukan kerana Allah (ikhlas) baik pemimpin dan orang yang dipimpin perlu ada suatu ikatan yang menyebabkan wujudnya ketelusan yang menghubungkan dirinya dengan Allah.
Jiwa muttaqin dalam bahasa rohaniahnya membimbing manusia kepada kawalan hawa nafsu secara fitrah. Sifat jelik dalam batasan nafsu amarah bissuk atau nafsu haiwani dimurnikan supaya batasan nafsu mutmainnah atau nafsu insani mengambil tempat.
Jika Ramadan dilalui dengan keinsafan mendalam terhadap kelemahan dan kekurangan diri, ia bakal menampilkan manusia kembali kepada fitrah. Melupuskan sifat mazmumah iaitu yang terkeji daripada diri ke arah sifat mahmudah atau terpuji adalah suatu proses rohaniah.
Ramadan memberi peluang sangat luas bagi manusia kembali kepada fitrah diri dan melupakan hal jelik dalam hidup dan perangainya supaya perubahan itu memberi hikmah kepada diri, keluarga, masyarakat dan sistem pentadbiran.
Produktiviti rohaniah mempunyai talian rapat dengan nilai. Kukuhnya nilai rohaniah bermakna sifat amanah, adil, jujur, ikhlas, telus dan tulus akan sentiasa subur dalam diri manusia. Ahli ibadah menghubungkan amalannya langsung dengan Allah.
Ketika kita berpuasa, kita menahan lapar dan dahaga daripada makan dan minum. Perkara itu mungkin boleh diatasi dengan mengunci diri di dalam bilik kemudian melakukan sesuatu yang menyalahi rukun berpuasa sekiranya pertimbangan terhadap manusia menjadi sandaran.
Tetapi apabila pertimbangan Allah mengambil tempat, kita memiliki pertimbangan, walaupun manusia tidak melihat, dalam melakukan ibadat ini, kita berasakan Allah melihat perilaku kita. Inilah yang disebutkan Rasulullah SAW, sifat ihsan yang tinggi bagi seseorang insan.
Keihsananlah menjadi titik tolak yang amat penting dalam melakukan sesuatu. Kita yakin dalam melakukan sesuatu khususnya yang bernilai ibadat, walaupun kita tidak melihat Allah, tetapi wujud keyakinan yang kuat bahawa Allah melihat kita. Asas amalan ini jika dikembangkan dalam diri, kepemimpinan keluarga dan organisasi, ia menjadikan seseorang itu berjiwa muttaqin.
Nilai yang bersifat rohaniah adalah sesuatu yang boleh dimanifestasikan. Ia terlihat dalam amal, perbuatan dan pekerti. Pekerti Rasulullah SAW yang mulia memang boleh dilihat. Kesabarannya, kebijaksanaannya, kejujuran dan kecekalan menjadi amalan hidupnya.
Rasulullah SAW adalah contoh terbaik untuk kita. Oleh itu, memahami faktor kekuatan rohaniah tidak saja memahami kekuatan dalaman diri manusia, tetapi sifatnya terpancar di luar diri dalam bentuk amalan dan perbuatan yang baik.
Ramadan diibaratkan bateri yang memiliki kuasa menggerakkan sesuatu. Pada diri manusia memerlukan kekuatan supaya kehidupan dapat berjalan dengan baik. Bateri perlu melalui proses cas dan dicas.
Berpuasa, solat tarawih, tadarus, berbuka, bersahur, menahan diri daripada lapar dan dahaga, menjaga pancaindera daripada amalan buruk, melakukan doa dan istighfar sebanyak-banyaknya adalah amalan bersifat rohaniah dan memberikan cas terhadap jiwa dan hati.
Jika proses itu berlaku dengan baik dan sempurna, manusia akan memiliki kekuatan dalaman yang tinggi dan boleh menggerakkan diri serta kehidupan ke arah yang diredai Allah. Sekolah Ramadan ini yang memberikan fokus kepada produktiviti rohaniah bakal menggilap peribadi hamba Allah yang bakal lahir sebagai manusia baru dengan jiwa baru tunjangan jiwa muttaqin.
Jika matlamat itu dirasakan berlaku dalam hidup seseorang, maka penghayatan Ramadan memberi kesan perubahan. Sebaliknya selepas menjalani Sekolah Ramadan, tidak ada perubahan sikap, mentaliti dan amalan berlaku, bermakna Ramadan hanya suatu rutin bukan membangunkan jiwa muttaqin.
No comments:
Post a Comment